Our social:

Latest Post

Monday, December 7, 2015

AGAMA BENTUK NILAI SEJAGAT



Jika tiada yang mengongkong tabiat kita, pasti banyak kerosakan bakal terjadi. Apa lagi penjaga tabiat kita yang lebih baik selain agama. Dikatakan budaya juga boleh mengawal tindak tanduk manusia, namun budaya kurang menepati nilai sejagat. Sesuatu yang baik bagi sesuatu budaya tidak semestinya sesuai bagi semua masyarakat. Contohnya, ada budaya yang mengiyakan lelaki melakukan kerja-kerja yang lazimnya dibuat oleh isteri, manakala isteripula melakukan tanggungjawab suami, seperti mencari nafkah. Agama mempunyai nilai-nilai sejagat yang memberikan kita tingkahlaku yang boleh diterima oleh pelbagai masyarakat. Oleh itu, marilah beragama secara bersungguh-sungguh untuk kesejehteraan dunia ini.

Paradigma Yang Kritikal



Fungsi pradigma amat kritikal sebab ia mampu membawa perubahan minda, perasaan dan tindakan yang akhirnya melonjakkan rakyat dalam pelbagai kejayaan. Sebab itu, pemimpin perlu peka untuk mengesan apakah pradigmanya masih releven. Antara petanda rakyat perlukan pradigma baru ialah wujudnya pelbagai pertubuhan sukarela dengan pelbagai impian.

Zaman Sudah Berubah



Zaman yang mana penjawat awam ditakuti dan kadangkala dikagumi rakyat sudah berlalu. Namun, masih ada yang masih degil, kekal mengatur diri sengaja menampakkan diri lebih mulia daripada orang awam sebelum sengaja melengahkan kerja sehingga rakyat terpaksa menyembah minta kesian barulah mendapat layanan. Zaman itu sudah berubah. Kini, rakyat adalah "raja". Dan kini, penjawat awam adalah "rakyat" walaupun bahu sarat memikul bintang.

Elak Buat Begini



KAMI fikir wajar kita--penulis Facebook--bangunkan etika paparan. Setiap kita ada idea dan izinkan kami mulakan. Elak post gambar mereka yang sakit. Sebab, setiap kita, terutama yang wanita mahu kelihatan teratur dalam gambar--rambut tidak terburai, muka ceria dengan dandanan yang memberikan nilai tambah cantik dan pakaian kemas serta sesuai. Mendekati kesedaran ini, cubalah bayangkan jika ada yang tiba-tiba mengajak kita bergambar awal pagi, ketika belum mandi. Mahu kah kita bergambar??? Nah, kasian yang sakit terutama yang sedang terlantar, tiba-tiba digambar kemudian difacebookkan, menjadi tontonan seluruh dunia...

Tuesday, December 1, 2015

SERONOK ATUR GST SEMACAM URUS PILIHANRAYA



SERONOK atur GST, semacam urus pilihanraya. Ramai yang tanya itu dan ini, di sana sini dan kerana semua soalan perlu dijawab, termasuk soalan nakal, tugas GST ini lebih mencabar. Lebih cabaran bertindak sebab tersepit antara pratagonist dengan antagonist. Seakan atas pagar tetapi sebenarnya bukan. Harus bijak posisikan pemikiran, perasaan dan tindakan supaya tidak terlalu nampak macam "kerajaan" untuk elak semacam suara parti politik pemerintah, apa lagi suara pembangkang. Sebagai penjawat awam, walau hati gatal mahu cakap di luar skop jawatan, perlu nampak lebih neutral supaya kewibawaan penjawat awam, sebagai penguatkuasa undang-undang tetap terjamin. Konsep penerangan GST ini wajar terhad dalam konteks hubungan Guru-Murid. Siapa lagi guru yang lebih layak melainkan Kastam. Takala pelanggan bebas mencari guru lain, wajar murid kekal memandang Kastam sebagai "dewa yang maha mengetahui". Jika murid anggap sebaliknya, pasti kacau jadinya. Apa lagi jika murid berguru kepada GOOGLE. Tidak dapat disangkal hakikat, GOOGLE memanglah "mahaguru" tetapi kerana pendidikannya berkonsepkan "value free" maka pengetahuan murid yang ditimba dari GOOGLE bukan semua betul dan tepat. Pengetahun dari value free inilah punca konflik GST. Pengetahuan yang diperolehi daripada Kastam adalah berkonsepkan pendidikan nilai terpandu. Hasilnya, murid dapat pengetahuan sebenar GST, mengikut hukum GST seperti tersebut dalam aktanya. Kita perlu lebih ramai murid "lulusan Kastam" untuk ringankan konflik. Saya sudah lama, malahan  membesar bersama Kastam tetapi saya tidak ingat bagaimana bahang yang dihadapi Jabatan ini ketika mula-mula menguatkuasakan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dalam tahun 1970an. Saya percaya cabarannya memang ada tetapi mungkin tidak seberat zaman ini. Ini zaman sakti. Sekelip mata, maklumat dapat diterima. Begitu juga, dengan sekali picit, rahsia kecil mahu pun yang besar cepat disebar. Jika maklumat itu berbau hasutan, pastilah lebih menakutkan bukan sahaja pegawai-pegawai rendah tetapi mereka yang sarat memikul bintang di Putrajaya. Dengan sekali picit, api kebencian cepat merebak, membakar perasaan rakyat.  Hal GST, pastilah antara isu yang "hidup" dalam smartphone warga negara ini. Kerana rakyat semakin bijak, semakin banyak pula pendapat tentang GST yang sudah pastinya bukan semua sama. Ada yang menentang, tidak kurang pula yang menyokong. Ada juga masih keliru. Anehnya, ada yang mengaku dan nampak bijak tetapi bila ditanya  dia sendiri lebih bingung daripada orang yang awal-awal lagi mengaku keliru. Namun, hati saya cakap, jika ada yang menentang bukanlah sesuatu yang luar biasa. Anggap sahaja yang menentang itu belum faham sepenuhnya falsafah, konsep dan aspek teknikal GST. Sungguhpun sistem percukaian negara sudah lama namun GST masih baru. Terutama aspek teknikal, GST perlu difahami sampai ke dasar, bukan setakat hal-hal apungan seperti kenapa perlu kutip cukai? dan jika rakyat Sabah belum faham, sebaiknya lebih awal akun, saya lah yang gagal. Bukan  pelanggan yang selalu takut terutama detik-detik menghampiri hujung bulan kerana usia wang gajiannya tidak sampai hujung bulan. Mungkin wajar juga saya cakap bahawa seawal tahun 2010, hal GST ini telah dijaja di mana-mana. Seingat saya, bermula di Beaufort kemudian di Keningau. Saya pun tidak ingat mengapa kawasan pedalaman ini dipilih pada ketika itu. Maklumlah masa itu, GST baru sahaja disebut-sebut. Tidak hairanlah, sikap tunggu dan lihat merajai pemikiran rakyat. Biasalah. Cina bilang: Man-man loi. Maksudnya, keputusan mahu menerima atau menyokong GST dipengaruhi oleh sikap tunggu dan lihat tetapi tidak bermakna rakyat tidak memperkatakannya. Apa lagi gelanggangnya yang lebih bebas dan selesa selain dunia maya! Bergurukan google, jutaan murid memilih subjek GST. Kelas darjahnya di setiap komputer riba atau smartphone dan entah gajet apa lagi yang terkini yang digunakan. Masa dan tempat di mana-mana sahaja. Betapa hebatnya Subjek GST ini, merajai subjek lain sejak diumumkan Perdana Menteri Malaysia tahun lalu.

MACAM NGAM-NGAM GST PULA


 

KEGILAAN menyusur galur keluarga semakin terbangun. Wooow, WhatsApp group tumbuh macam cendawan waktu sejuk, menjeritkan nama-nama hebat keluarga. Kerana WhatsApp group tidak lagi mampu menampung ahli yang semakin membanjiri group, pengerusi meminta ahli keluarga berpindah pula ke Telegram supaya semua keluarga termuat dalam satu group. Ahli-ahli keluarga tidak sabar-sabar menampakkan kemesraan dengan ungkapan kata-kata manis, betapa gembiranya kerana akhirnya dapat saling kenal mengenal, padahal tinggal sekampung puluhan tahun lamanya, malahan selalu jumpa tetapi langsung tidak menyedari ada pertalian darah. Dekat lagi, baru pupu tiga. Hubungan keluarga masih terlalu dekat. Menurut adat turun temurun, tidak boleh kahwin dan jika terlajak mahu juga, pasti melibatkan sogit yang besar, mungkin dua tiga ekor kerbau. Syukurlah ada WhatsApp dan Telegram, mudah atur perjumpaan dengan niat perpaduan keluarga. Hari ini, ada perjumpaan lagi dan seperti pertemuan lalu untuk menghimpunkan data keluarga. Menurut laporan setiausaha, ada lagi yang belum hantar data tetapi tidak ramai, hanya satu atau dua keluarga sahaja. Pengerusi tidak dapat sembunyikan rasa risau, tidak sabar menunggu data keluarga untuk dimasukkan dalam software Aggelong 3 Family Tree. Menurutnya, software ini bagus. Jika mahu cari siapa cousin, sebagai contoh, cousin lelaki, software boleh menyeneraikan semua cousin lelaki. Jika masih ada AJK yang belum lengkapkan data keluarga pada hal sudah kerja keras, pengerusi bilang hantar pasukan penjejak di mana lokasi keluarga. Jangan ada satu data pun yang tercicir. Bulan April mesti siap kumpul data. Kata pengerusi, kita mesti bersetuju atas satu hal--buku salasilah keluarga siap pada  1April, 2015!!! Disambut dengan sorakan gemuruh daripada ahli keluarga yang hadir--mesti siap!!! Macam ngam-ngam GST pula. Seperti biasa, setiap pertemuan mesti ada group foto. Kasi masuk FB, supaya hal menyusur keluarga ini tersebar luas. Biar suku sakat di perantauan tahu, ada gerakan mendokumentasikan data keluarga. Biar keluarga di USA, di London, di Australia atau di mana-mana juga di seluruh dunia tahu bahawa keluarga di kampung telah wujud gelombang semangat perpaduan keluarga untuk mengejar impian: KELUARGA BERJAYA dengan moto impian menjadi realiti dan inilah group foto yang bakal difacebookkan oleh setiausaha nanti. Mereka yang dalam gambar ini adalah antara ahli keluarga yang faham moto keluarga--IMPIAN MENJADI REALITI!!!

Selepas bergambar, setiausaha umumkan ada program lawatan ziarah keluarga. Kali ini, di Samparita. Woow, di 

gunung! Tentu sejuk, banyak angin tiup. Cepat hajat makbul, kata pengerusi, melawak, sebab tempat tinggi, dekat dengan makhluk baik-baik menepati kosmologi Kadazandusun yang kononnya bahagian paling atas dunia ini adalah tempat roh-roh yang baik, sementara di bahagian bawah adalah tempat roh-roh nakal dan jahat. Samparita tidaklah terlalu jauh dari Longob, kampung tempat mesyuarat tadi. Sesudah melalui lima buah kampung tanah rata yang banyak huruf "o"--Salimandut, Tingkalanon, Morion, Nolotan dan Tondig sampailah rombongan keluarga di Kampung Samparita. Merajai bangunan di kampung itu ialah bangunan sekolah yang seakan menjadi penjaga kampung itu dan tidak jauh daripada sekolah itu lah rumah keluarga yang bakal dilawati. Menurut sumber yang boleh dipercayai ahli keluarga di Samparita ini ialah sepupu kepada Odu Rundiying binti Dolinsing  tetapi kaitannya entah dari sebelah mana, ibu atau bapa. Pasukan penjejak keluarga yang sudah beberapa kali mesyuarat dan berjaya mengesan lebih seribu suku-sakat setakat ini tumpukan pula usaha menjejaki keluarga ini. Pasti seronok mengikuti kisah menjejaki keluarga ini.

DR J IKON NILAI UTAMA KASTAM (CUSTOMS CORE VALUES)


 

Langkawi, Datuk Dr Janathan Kandok dipilih sebagai Ikon ABID, iaitu nilai utama Perkhidmatan Kastam oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia hari ini. Demikian diumumkan oleh Dato sri khazali ahmad, Ketua Pengarah Kastam Malaysia ketika merasmikan Galeri Kastam Kedah di Langkawi hari ini. Menurut Khazali, pemilihan Janathan sebagai Ikon ABID adalah berdasarkan kepada pemajuan kerjayanya yang bermula daripada Pegawai Kastam gred W17 hinggalah membawa kepada kenaikan pangkat ke gred Jawatan Utama Sektor Awam  serta kelulusan akademi bermula daripada sijil pelajaran Malaysia hinggalah berjaya mendapat PhD. Katanya, dengan pemilihan Datuk Dr Janathan kandok sebagai ikon ABID, janathan akan menjadi sumber inspirasi kepada warga kastam untuk berkhidmat dengan lebih komited kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Berikutan dengan perasmian Galeri Kastam Kedah, jawatankuasa galeri berkenaan telah memutuskan supaya gambar, biodata dan karya-karya Janathan dipamerkan dalam galeri itu sebagai semangat dan jiwa kepada galeri itu.

Menurut rekod kastam Sabah dan Dewan Bahasa dan Pustaka, 
dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (Sekolah Menengah Abdullah Munshi, Pulau Pinang 1975), Janathan Kandok memulakan kerjayanya dalam Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kudat, Sabah (1976) sebagai Pegawai Kastam Tingkatan I. Kerjayanya meningkat tapak demi tapak, sebagai Penguasa Kastam (1985), Penolong Pengarah Kastam (1994), Penolong Kanan Pengarah Kastam (2003), Penolong Kanan Pengarah kastam I (2008), Timbalan Pengarah Kastam (2010) dan Pengarah Kastam Negeri Sabah (2012). Janathan yang berasal dari Kg. Damai, Kota Marudu,  Sabah berkelulusan B.A. (1985, USA), M.A. (1997, UK) dan PhD (UMS, 2011). Beliau yang merupakan penerima Anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2002), adalah penulis beberapa buah buku yang antaranya Pesta Demokrasi (1990), Intuisi Wakil Rakyat Kastam (1996), Kastam Menuju Ke Hadapan (1997), Model Ekonomi Kastam Sabah (2013), Pelajar Cemerlang (2008) dan Wawasan Tandek (1990). Janathan yang juga penulis lirik lagu Hari Kastam Sedunia (1989), Kastam Sabah Berjasa (2012) dan Dirghayu Tuan Yang  Terutama (2012) adalah pemimpin beberapa persatuan sukarela yang antaranya Pertubuhan Dusun Islam Sabah (2010), Institut Penilaian Sastera (2002) dan Pertubuhan Kimaragang Malaysia (2009). Janathan juga adalah penulis kolum Kastam dan Anda di surat khabar Utusan Borneo (2006-2008) dan terkini penulis kolum Apa Saja Lah di The New Sabah Times (2015). Antara peranan penting beliau di Jabatan Kastam Diraja Malaysia ialah Pengetua Akademi Kastam Diraja Malaysia, Sabah (1994-2002), Pengarah Kastam Willayah Persekutuan Labuan (2009) dan Pengarah Kastam Negeri Sabah (2012-kini).  Beliau dikurniakan pingat kebesaran ADK (2006), AMN (2009) dan DIMP (2012). 

Turut hadir dalam majlis itu ialah Tuan Abdul Latiff Kadir, Pengarah Kastam Kedah.