Our social:

Tuesday, December 1, 2015

KASTAM SABAH WAJAR DIWOWKAN


"APA nama?" Tanya nurse, muka ketara macam orang kampung saya, berbaju putih jalur biru, tersenyum sebelum meletakkan di atas kaunter telefon genggamnya berwarna merah jambu. "Nama yang betul atau glamour. Nama glamour saya GST" Jawab saya bersahaja, menghulurkan kad pengenalan. "Nama betullah bah," katanya, tersenyum lebar manis yang "merbahaya perahu-perahu kecil dan sederhana", sebelum bertanya lagi. " Mau jumpa doktor?" Katanya, memandang handphonenya, jenis Samsung model terkini,  yang mula bergetar rapat-rapat.  "Tidak. Tidak payah jumpa doktor, nurse boleh selesai ni masalah. Ini hal kecil. Ini udang punya hal, gatal-gatal ja." Tidak terganggu dengan getaran handphonenya, dia cepat bertanya "Udang kena GST kah? "Yang gatal dan udang pun tidak kena GST," jawab saya, tersenyum. Terutama kebelakangan ini, GST seakan nama baru saya. Dato' GST dan  Tuan GST adalah nama baru saya dan yang panggil saya begitu termasuklah para wakil rakyat dan rakan-rakan dalam perkhidmatan awam. Tidak hairan sebab sejak tahun 2010, saya terlibat dalam pemakluman tentang GST kepada pelbagai lapisan rakyat di serta tempat di negeri ini. Kerana keliru barangkali ada juga yang terngangga hairan menyangka: Mengapa muncul lagi sebuah parti baru di Sabah-- GST! Letih juga menerangkan GST ini kepada rakyat tetapi dalam masa yang sama seronok juga menyampaikan agenda baru negara kepada rakyat dan memang biasalah bukan mudah memahamkan GST terutama dari aspek teknikal seperti orang bilang kadar GST ini kononnya bukan 6% sebaliknya 24%. Yang lebih mencabar: "Kalau peniaga boleh tuntut balik cukai, kenapa rakyat tidak boleh? Habis sudah kuntau saya jawab ini soalan, masih juga orang awam bertanya lagi, seakan pengalaman saya sebagai pengarah latihan selama 8 tahun dulu di Akademi Kastam Diraja Malaysia, Sabah, tidak berguna langsung. Saya sudah bilang, di dunia ini ada 197 buah negara dan tidak ada sebuah negara, sekali pun negara kaya, tidak memungut cukai untuk perbelanjaan dan pembangunan negara. Tapi soalan muncul juga di mana mana saya beri ceramah: Kenapa rakyat kena GST?  Biarlah pegawai lain jawab soalan ini sebab GST kini di peringkat pelaksanaan. Menurut Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Dato' Sri Khazali haji Ahmad, sepatutnya isu kenapa GST dilaksanakan atau kebaikan-kebaikan GST tidak timbul lagi sebab kini  GST sudah pada tahap pelaksanaan. Setakat 28 februari, Kastam Sabah telah mendaftar melebihi 18 ribu syarikat yang secara wajib, mengikut undang-undang GST,  sebagai syarikat yang dikenakan GST. Melihat kepada angka ini, Kastam Sabah mungkin wajar diwooooowkan sebab dengan jumlah pelesen GST ini Kastam Sabah mampu mengutip hasil melebihi 1 billion tahun ini, iaitu jumlah kutipan Hasil GST, cukai Import, Eksport dan Eksais. Jumlah 1 billion ini bukan angka yang main-main. Bukan seperti gurauan orang yang kononnya GST ialah Geng Songkok Tinggi atau Ganyang Sampai Terduduk atau yang lebih menyengat: Gumuo Sambayang Tokou atau dalam Bahasa Malaysia, Gandakan doa kita. Apa pun cakapan orang tentang GST, tidak dapat menolak hakikat bahawa di dunia ini sudah 160 buah negara yang telah melaksanakan GST. Di negara Asean sendiri hanya Mynmar dan Brunei yang belum melaksanakan Sistem percukaian GST. Kini giliran Malaysia melaksanakannya dan rakyat tidak ada pilihan melainkan membiasakan diri dengan sistem percukaian negara ini bermula 1 April 2015.

0 comments:

Post a Comment