Our social:

Tuesday, December 1, 2015

SERONOK ATUR GST SEMACAM URUS PILIHANRAYA



SERONOK atur GST, semacam urus pilihanraya. Ramai yang tanya itu dan ini, di sana sini dan kerana semua soalan perlu dijawab, termasuk soalan nakal, tugas GST ini lebih mencabar. Lebih cabaran bertindak sebab tersepit antara pratagonist dengan antagonist. Seakan atas pagar tetapi sebenarnya bukan. Harus bijak posisikan pemikiran, perasaan dan tindakan supaya tidak terlalu nampak macam "kerajaan" untuk elak semacam suara parti politik pemerintah, apa lagi suara pembangkang. Sebagai penjawat awam, walau hati gatal mahu cakap di luar skop jawatan, perlu nampak lebih neutral supaya kewibawaan penjawat awam, sebagai penguatkuasa undang-undang tetap terjamin. Konsep penerangan GST ini wajar terhad dalam konteks hubungan Guru-Murid. Siapa lagi guru yang lebih layak melainkan Kastam. Takala pelanggan bebas mencari guru lain, wajar murid kekal memandang Kastam sebagai "dewa yang maha mengetahui". Jika murid anggap sebaliknya, pasti kacau jadinya. Apa lagi jika murid berguru kepada GOOGLE. Tidak dapat disangkal hakikat, GOOGLE memanglah "mahaguru" tetapi kerana pendidikannya berkonsepkan "value free" maka pengetahuan murid yang ditimba dari GOOGLE bukan semua betul dan tepat. Pengetahun dari value free inilah punca konflik GST. Pengetahuan yang diperolehi daripada Kastam adalah berkonsepkan pendidikan nilai terpandu. Hasilnya, murid dapat pengetahuan sebenar GST, mengikut hukum GST seperti tersebut dalam aktanya. Kita perlu lebih ramai murid "lulusan Kastam" untuk ringankan konflik. Saya sudah lama, malahan  membesar bersama Kastam tetapi saya tidak ingat bagaimana bahang yang dihadapi Jabatan ini ketika mula-mula menguatkuasakan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dalam tahun 1970an. Saya percaya cabarannya memang ada tetapi mungkin tidak seberat zaman ini. Ini zaman sakti. Sekelip mata, maklumat dapat diterima. Begitu juga, dengan sekali picit, rahsia kecil mahu pun yang besar cepat disebar. Jika maklumat itu berbau hasutan, pastilah lebih menakutkan bukan sahaja pegawai-pegawai rendah tetapi mereka yang sarat memikul bintang di Putrajaya. Dengan sekali picit, api kebencian cepat merebak, membakar perasaan rakyat.  Hal GST, pastilah antara isu yang "hidup" dalam smartphone warga negara ini. Kerana rakyat semakin bijak, semakin banyak pula pendapat tentang GST yang sudah pastinya bukan semua sama. Ada yang menentang, tidak kurang pula yang menyokong. Ada juga masih keliru. Anehnya, ada yang mengaku dan nampak bijak tetapi bila ditanya  dia sendiri lebih bingung daripada orang yang awal-awal lagi mengaku keliru. Namun, hati saya cakap, jika ada yang menentang bukanlah sesuatu yang luar biasa. Anggap sahaja yang menentang itu belum faham sepenuhnya falsafah, konsep dan aspek teknikal GST. Sungguhpun sistem percukaian negara sudah lama namun GST masih baru. Terutama aspek teknikal, GST perlu difahami sampai ke dasar, bukan setakat hal-hal apungan seperti kenapa perlu kutip cukai? dan jika rakyat Sabah belum faham, sebaiknya lebih awal akun, saya lah yang gagal. Bukan  pelanggan yang selalu takut terutama detik-detik menghampiri hujung bulan kerana usia wang gajiannya tidak sampai hujung bulan. Mungkin wajar juga saya cakap bahawa seawal tahun 2010, hal GST ini telah dijaja di mana-mana. Seingat saya, bermula di Beaufort kemudian di Keningau. Saya pun tidak ingat mengapa kawasan pedalaman ini dipilih pada ketika itu. Maklumlah masa itu, GST baru sahaja disebut-sebut. Tidak hairanlah, sikap tunggu dan lihat merajai pemikiran rakyat. Biasalah. Cina bilang: Man-man loi. Maksudnya, keputusan mahu menerima atau menyokong GST dipengaruhi oleh sikap tunggu dan lihat tetapi tidak bermakna rakyat tidak memperkatakannya. Apa lagi gelanggangnya yang lebih bebas dan selesa selain dunia maya! Bergurukan google, jutaan murid memilih subjek GST. Kelas darjahnya di setiap komputer riba atau smartphone dan entah gajet apa lagi yang terkini yang digunakan. Masa dan tempat di mana-mana sahaja. Betapa hebatnya Subjek GST ini, merajai subjek lain sejak diumumkan Perdana Menteri Malaysia tahun lalu.

0 comments:

Post a Comment